Friday, September 12, 2008

Ramadhan: Mendidik dan Terdidik











Sesungguhnya, kemuliaan bulan ini tidak dapat disanggah lagi. Segala ganjaran telah ditentukan oleh Allah s.w.t terhadap umat-Nya yang benar-benar taat dah patuh terhadap ajaran yang di bawa oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Namun, sejauhmanakah kita sedar akan kemuliaan bulan ini dan apakah reaksi kita terhadap bulan yg penuh barakah ini? Persoalan yang sudah pasti ada dalam diri sendiri, yang hanya mampu dirungkai oleh jiwa dan hati bagi yang menyedari.

Ramadhan mendidik jiwa dengan pelbagai sifat mahmudah yakni menjadikan diri lebih terdidik dengan nilai dan peribadi yang murni. Kelebihan puasa itu sendiri menjelaskan kepada kita tentang kesabaran dan juga kesyukuran terhadap nikmat yang diperolehi. Sekiranya kita bandingkan keadaan diri yang lemah dan tak bermaya, namun ada insan lain yang lebih azab menanggung siksa. Seringkali manusia mengeluh dengan nasib diri tetapi jarang berfikir mengenangkan nasib orang lain yang lebih teruk dari diri sendiri. Keaadaan inilah menjadikan kita kufur terhadap nikmat Tuhan dan tidak tahu mengucapkan syukur terhadap pemberian-Nya.

Antara kelebihan bulan Ramadhan yang kita mungkin tidak sedari adalah perubahan fizikal dan juga rohani yang sangat ketara. Mungkin dengan tujuan untuk menghormati bulan yang penuh kemuliaan ini. Sebagai contoh, perubahan dari segi pakaian, mungkin lebih tertutup dan sopan atau dengan kata lain, dari seorang yang tidak bertudung, tetapi mengenakan tudung sebagai menghormati bulan ini. Tetapi, persepsi segelintir masyarakat yang prejudis terhadap golongan sebegini menjadikan amalan bertudung pada bulan Ramadhan tidak dapat bertahan untuk bulan-bulan yang lain. Hal ini kerana masyarakat seolah-olah tidak memberi sokongan atau galakan yang baik, tetapi lebih menjurus kepada kritikan dan tohmahan. Keadaan ini lah yang menjadikan seseorang yag cuba mendidik diri kearah kebaikan tidak terdidik disebabkan orang lain yang tidak mampu memberi didikan yang baik.

Di samping itu juga, didikan bulan Ramadhan yang mungkin kita tidak sedari ialah menjadikan diri lebih berdisiplin dan berakhlak mulia. Sebagai contoh, berdisiplin dalam menguruskan waktu atau menjadikan setiap waktu itu penuh bernilai melalui pengisisan ibadah dan pangabdian kepada yang maha Esa. Amat jarang bagi kita mendengar seorang muslim berhajat untuk melakukan maksiat pada bulan ini, dan sekiranya ada, amat jahil golongan itu dalam menilai keagungan Islam. Masing-masing sedaya upaya merebut peluang menjadikan bulan ini sebagai ‘platform’ dalam mendidik diri kearah muslim sejati. Sesungguhnya, jiwa yang istiqomah dalam mendidik diri akan menjadikan diri lebih berpotensi untuk menjadi muslim yg ideal.

Namun, terdidik kah kita dengan ajaran yang mulia sepanjang bulan ini? Apakah usaha kita untuk mendidik jiwa supaya kita menjadi insan yang mulia di sisi Allah s.w.t? semoga segala amalan mulia yang kita laksanakan ini berkekalan bukan sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi bulan2 yang lain jua. Sesungguhnya, Ramadhan itu pencetus kepada perubahan hidup yang lebih baik seandainya diisi dengan perkara yang mendidik jiwa ke arah jihad yang satu, yakni berpaksikan ajaran Islam yang syumul. Semoga beroleh ganjaran yang dijanjikan oleh-Nya. wallahua’lam.

No comments: